Sunday, 29 June 2014

"Mak tak izinkan kau nikah !"

Tidak seperti anak perempuan, anak lelaki lebih bersikap terbuka. Dan tindakbalas mereka terhadap jawapan kita juga lebih terbuka.

Cuma mereka perlukan penjelasan atau justifikasi mengapa kita tak izinkan mereka bernikah. Malah berikan solusi yang boleh mereka usahakan.

Saya faham fikiran ibubapa. Bagaimana mereka mahu serahkan tanggungjawab jika mereka dapati anak lelaki mereka sendiri belum bersedia.

Persediaan itu pula perlu serba-serbi. Kerana anak lelaki apabila bergelar seorang suami wajib menggalas pelbagai beban. Jika mereka tak mampu lakukannya, mereka perlu ikhtiar lain contoh memberi upah kepada yang mampu melakukannya.

Pernikahan tidak terhenti sehingga pelamin saja. Kemudian pergi honeymoon dan berseronok dengan pasangan sehingga leka akan tanggungjawab. Pernikahan adalah tanggungjawab baru. Dengan kelahiran anak, tanggungjawab itu turut bertambah. Bukan saya mahu menakutkan tetapi ini adalah realiti. Pernikahan bermaksud hidup bersama dengan seorang manusia, tidur, tinggal, makan hatta berkongsi bilik air bersama. Segala baik buruk pasangan akan kita ketahui. Tiada rahsia.

Antara alasan ibubapa tidak mengizinkan anak lelaki bernikah ialah:

#1
Tidak bertanggungjawab. Ini boleh diukur dengan bagaimana mereka menjaga solat, bilik tidur, haiwan kesayangan bahkan pelajaran.

#2
Tidak menunjukkan kasih-sayang. Dingin terhadap adik-beradik sendiri bahkan kasar dengan ibubapa.

#3
Menunjukkan ketidak-matangan. Ini boleh dilihat semasa mereka memberikan respon kepada sesuatu isu atau masalah berbangkit, bagaimana menangani emosi, bersikap keanak-anakan tidak mengira masa dan tempat.

#4
Kedekut atau berkira. Bagaimana mahu memberi nafkah kepada isteri? Silap haribulan isteri pula yang menanggung hidupnya.

#5
Tiada sumber kewangan. Barangkali orang boleh pejam sebelah mata jika belum bekerja tetap. Namun jika goyang kaki, mengharap langit menurunkan duit, memang ada yang nak kena.

#6
Tiada cita-cita atau perancangan dalam kehidupan. Pernikahan memerlukan perancangan masa pendek dan panjang. Gagal merancang bermakna merancang untuk gagal.

#7
Kurang atau enggan belajar kemahiran hidup. Hidup ini tak sepanjangnya indah. Bukan semua mampu dibayar dengan duit. Jika pandai memasak, panjat bumbung betulkan ariel tv, baiki paip, tukar tayar kereta, dan pelbagai lagi kemahiran, alhamdulillah. Kerana suami adalah pelindung isteri. Jika kereta rosak ditengah jalan, takkan isteri pula yang kena turun (unless she is a mechanic). Paling tidak, tahu nak telefon mekanik kedai atau tow truck.

wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment